Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

11 February 2012

KISAH HATI KITA - BAB DUA



SEMENJAK DUA MENJAK ini aku lebih banyak mendiamkan diri, tidak seperti selalu yang becok mulut bercakap sana sini. Mana tidaknya sejak Irfan Mikail meluahkan perasaannya buatkan hidup aku selalu tidak keruan. Terngiang-ngiang kata-katanya tempohari dan membuatkan tidur malam aku tidak lena. Kalau tidak selalu tidur mati sampai mak cakap...

'Kalau bom dok terlempaq depan umah pun hang tak sedar-sedar Yaya...apa nak jadi dengan hang ni?'

Hendak buat macam mana kalau mata aku ini sedap-sedap terpejam tanpa sedar. Jangan marah ya mak.

Si Rosie sekarang sudah mula menjaga penampilan diri. Gigi pun sudah mula dipasangkan pagar berwarna-warni. Kalau tersengih silau mata tengok, sampai aku suruh kalau hendak ketawa kena cover dengan tangan dia yang tembam itu. Tapi badan kecik sahaja.

Selalunya setiap hari aku bukan main semangat hendak pergi ke kuliah, tapi sekarang sebolehnya aku cuba mengelak daripada bertembung mata dengan Irfan Mikail. Lagi tidak menahan, tiap-tiap hari bagi aku bunga mawar warna putih. Katanya ibarat cinta dan sayang dia yang konon setulus hati itu suci dan bersih.

Eeeeeiii...Geli tahu!

Habis sahaja kuliah setiap hari aku akan cepat-cepat menarik tangan Rosie untuk keluar daripada dewan kulih. Bukannya apa, Irfan Mikail pasti akan sengaja berjalan seiring dengan aku sampailah aku membonceng scooter untuk balik ke rumah. Tidak bahasa barangkali bila aku cakap jangan sibuk menghimpit dekat dengan diri aku.

Kalau abah nampak aku balik sambil ditemani seorang lelaki yang memandu keretanya sendiri memang akan kena syarahan percuma. Silap haribulan boleh hilang pendengaran jika abah sudah melenting. Dalam adik-beradik abah memang mengawal aku seketatnya supaya tidak tersasar dalam hidup. Tolonglah Irfan, jangan bagi masalah dalam hidup aku!

"Apa awak ni sibuk ikut saya balik? Jangan lapan jam sehari awak dok tayang muka kat saya lah! Rimas! Rimas! Ni kalau abah saya nampak mau telinga saya terputaq sendiri bila abah marah. Cubalah faham keadaan orang!"

Tekanan betul bila berdepan dengan orang psiko macam Irfan Mikail ini. Dahulu aku yang terkenal dengan sikap selamba sekarang tidak lagi. Berjumpa sahaja muka Irfan Mikail, aku akan menikus. BUkan takut dengan dia tapi aku lemas dengan orang yang setiap asyik cakap

I Love You Darlina Suraya.

Tolonglah! Setiap masa itu juga aku terasa hendak muntah mengeluarkan segala isi dalam perut.

"Saya sukakan awak Darlina Suraya. Walau ganas macam mana pun awak saya tetap akan pertahankan rasa cinta saya ini pada awak." Irfan Mikail masih belum menampakkan tanda-tanda berputus asa. Agak-agak bilalah semester terakhir akan tiba ya? Aku sudah tidak sanggup berdepan dengan mamat siku ini.

Mak! Tolonglah Yaya!

Malas hendak melayan mamat siku ini aku terus memulas minyak motor selaju yang mungkin. Tapi kalau setakat scooter hendak berlawan kelajuan dengan Honda jenis model CR-Z Hybrid jangan bermimpi disiang hari Darlina Suraya!

Kerana sikap degilnya itu, abah terserempak dengan kami berdua. Aku sudah kecut perut dan peluh jantan sudah mula memenuhi ruangan dahi aku yang jendul ini.

Habislah!

**********

SAKIT HATI betul aku dengan perangai Irfan Mikail yang tidak mahu mendengar kata. Kerana diri dia, tidak pepasal aku dimarahi teruk dengan abah. Tengok misai abah pun aku dah gerun, belum lagi dengar suara yang macam halilintar. Abang dengan adik lelaki aku bukan main lagi gelak-gelakkan apabila aku kena syarahan percuma daripada abah. Aku terasa macam hendak luku-lukukan sahaja kepala mereka berdua.

Tetapi aku tersengih kembali apabila abah pun melibatkan nama mereka berdua. Yes! Adil dan saksama abah lakukan dalam memberi nasihat. Barangkali abah mahu kami berjaya dalam pelajaran terdahulu baharu fikirkan soal hati dan perasaan. Zaman sekarang zaman yang memandang teknologi canggih segalanya dihujung jari sahaja. Namun masih ada segelintir masyarakat tidak tahu menggunakan teknologi canggih dalam urusan seharian. Ada juga segelintir masyarakat yang ada dimuka bumi ini menyalahgunakan kemudahan yang boleh dikategorikan menyenangkan kehidupan.

Bak kata Tun Mahathir, pandanglah ke timur untuk mendalami teknologi canggih supaya menjadi orang yang mahir. Ambil sikap Kaizhen, yakni ambil yang baik daripada keburukkan supaya kebaikkan itu menambaikkan lagi kesempurnaan. Itu pasal sekarang aku mengikuti kursus Engineering Mechanical yang kebanyakkannya didominasikan oleh kaum Adam.

Baharulah kena dengan jiwa!

"Abah tidak mahu anak-anak abah lalai dengan soal dunia sehingga terlupa tujuan utama dalam kehidupan. Bukan abah sengaja hendak mengawal kehidupan anak-anak abah tetapi abah mahu kalian menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara malahan untuk agama juga. Kalau abah marah bukan bererti abah benci tetapi abah sayang anak-anak abah. Kalian sahajalah yang akan harta yang ditinggalkan bila mak dan abah tsudah tiada kelak. Doa kalian menjadi peninggalan untuk kehidupan dunia yang sementara ini."

Terang abah dan buatkan hati aku menjadi sebak. Aku tidak mahu abah dan mak pergi sebelum melihat anak tunggal perempuan dia ini berjaya dalam kehidupan. Aku hendak membalas segala jasa mak dan abah yang telah banyak berkorban untuk membesarkan kami adik beradik. Walaupun abah sebenarnya anak kelahiran Kuala Lumpur tetapi masih tetap utuh dengan pendirian dalam soal ilmu dan agama.

Mak pula orang kelahiran Penang yang kebetulan berkenalan dengan abah sewaktu mereka sama-sama menjalani kursus pembelajaran dalam subjek Engineering Mechanical. Bila abah ditugaskan di Pulau Pinang, mak dan abah ambil keputusan untuk berkahwin. Selepas kelahiran aku baharulah mak meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatian dalam urusan rumahtangga. Rupanya mak menjawat jawatan sebagai Pegawai pelatih jurusan mekanikal di Tentera Udara Malaysia. Abah pula Pegawai Kanan Pelatih di Tentera Udara Malaysia juga.

Kalau sudah jodoh tidak kemana. Dalam adik beradik akulah yang mengikuti jejak langkah abah. Abang aku lebih kepada jurusan Arkitek. Si bongsu pula masih bersekolah asrama penuh di tingkatan tiga. Alhamdullillah kami berjaya didalam pelajaran untuk peringkat pertama dan kedua. Abang Dzahari Saifullah sedang menuntut tahun akhir di Universiti Sains Malaysia.

Aku cemburu bila abang Dzahari akan menamatkan pelajaran tahun ini dengan mengenggam segulung ijazah sebagai bekalan!

Cepatlah masa yang berlalu sebab aku sendiri tidak sabar untuk menamatkan pelajaran dan paling penting tidak sabar menjauhkan diri daripada Irfan Mikail!

"Darlina Suraya, kamu merupakan anak kesayangan abah sebab kamulah satu-satunya bunga dalam keluarga kita. Tentang perkara siang tadi abah harap kamu jauhkan. Masih jauh lagi perjalanan kehidupan kamu Darlina. Abah tak nak perkara siang tadi berulang lagi. Kamu faham maksud abah kan Darlina?"

Abah menumpukan perhatian semula tentang kes yang tidak disengajakan siang tadi. Aku mengangguk tanda faham. Walaupun lembut abah berkata-kata namun isi yang tersirat cukup mencarik perasaan aku. Aku hendak abah bangga dengan aku bukan kecewa! Aku kasihkan abah dan emak sebab mereka berdua sahajalah yang akan menjadi kesayangan aku dunia dan akhirat.

"Yaya faham abah. Betui Yaya dengan mamat siku takdak apa. Dia yang dok buat pekeleh ikut Yaya balik. Yaya minta maaf naaa kalau Yaya ada lukakan perasaan abah." Aku terus bangun dan menyalami tangan abah dan mencium serta emak erat-erat. Muka sahaja ganas tapi dalam hati ada taman jugak!

"Abah dan mak maafkan. Takpalah, esok lusa abah nak pi jumpa dengan budak tu supaya jangan kacau Yaya lagi." Abah tersenyum dan aku mengesatkan airmata. Abah memang lemah kalau aku sudah mengalirkan airmata.

"Mai makan semua, nasik karang dah sejuk tak sedap. Tu kari kapla ikan mak masak malam ni."

"Yaya, ingat tu pesan abah. hang jangan nak buat perangai tak tentu hala." Tiba-tiba bersuara pula abang aku yang seorang ini.

"Bukan salah Yaya la bang Ari, mamat tu yang dok gila ikut Yaya." Aku sudah muncung, tadi menangis bukan main lagi tapi bila bab bergaduh semangat aku yang lemah tadi tiba-tiba jadi gagah.

"Hang pun dok melayan dia pasai apa?" Abang Ari sengaja mencurahkan minyak bila aku sudah rasa terbakar.

"Hangpa duaorang ni kan, depan rezeki pun nak berlaga ka? Mak tak suka lagu ni." Mak pula naik angin, terus aku dan abang Ari terdiam. bawah meja aku menendang-nendang kaki Abang Ari sekuat hati

"Aduh!"

"Hang pasai apa lagi tu Ari? Sudah-sudahlah dok menyakat Yaya. Tak sayang adik ka?"

"Dak mak Ari tergigit lidah. Sayang Yaya mak, sayang rasa macam nak telan-telan."

Aku tersengih. Abah sudah berdehem terus sahaja kami terdiam.

**********

AKU melangkah masuk ke dalam dewan kuliah dengan satu semangat yang baharu. Kalau selepas ini mamat siku tidak juga faham-faham aku nekad aku akan bagi penumbuk sulung pada dia. Apa nak jadi, jadilah aku sudah tidak tahan dengan sikap dia yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan hati orang lain yang terluka.

Aku duduk sahaja, terus Irfan Mikail menghampiri aku dan memberikan sepucuk surat. Baharu sahaja hendak aku koyakkan, terus pensyarah masuk ke dalam dewan kuliah. Terus sahaja surat itu aku simpan ke dalam beg galas aku. Habis sahaja kuliah selepas ini, aku akan koyak-koyakkan sampai lumat depan mata dia!

Sesi kuliah yang berlanjutan selama satu jam itu berakhir dengan peringatan bahawa ujian akan diadakan pada minggu hadapan. Ini kerana adalah salah satu jalan inisiatif untuk membangunkan modal insan untuk menghadapi peperiksaan besar yang tidak lama lagi menjelang. Tamat sahaja kuliah, dengan tidak menyempat-nyempat Rosie menarik tangan aku mengajak menuju ke kafeteria untuk mengisi perut. Terkial-kial aku mengikut jejak langkah Rosie yang kelam kelibut itu.

Entah apalah yang dia kejarkan sangat?

Sampai sahaja dikafeteria terus sahaja Rosie mencari-cari tempat duduk. Paling aku terkejut kenapa Rosie pilih tempat duduk paling belakang sekali? Selalu duduk dibarisan hadapan. Ini mesti ada apa-apa, kalau tidak takkan berubah mendadak semacam sahaja.

"Awat pelik hang ni aku tengok? Pasai apa takdak ribut petir hang dok mai baris belakang?" Soalan aku mengejutkan Rosie, kemudian menggeleng laju-laju. Tiba-tiba aku lihat airmata mula bergenang ditubir mata Rosie.

Aku sudah agak mesti ada benda yang tidak kena.

"Darlina...den...den..."

"Eh! Awat hang teriak ni? Pasai apa? Ada benda aku buat hang sakit hati ka? Aku mintak maaf na. Aku tak sengaja Rosie tengking hang tadi."

"Bukan sobab ekau Darlina, tapi ado bondo lain. Berat mulut den nak kaba an dengan ekau la..."

"What friend for right? Now tell me Rosie."

"Aku nak cito pun aku tak tau nak start dari mano. Ditolan mati omak, ditolan mati bapak pulak." Rosie mengeluh dan membuatkan aku rasa tidak sedap hati. Aku tidak sanggup melihat kesedihan Rosie yang tiba-tiba menerjah dalam hidupnya.

"Hang chegita kat aku slow-slow naaa. Mungkin aku boleh ka."

"Nanti aku cito. Sekarang ni kita makan dulu. Aku lapo bonar ni." Rosie sudah kembali yang asal. Ratu makan!

Tapi hati aku tetap rasa tidak selesa apabila melihat Rosie didalam kesusahan. Rosie ini sudah aku anggap macam darah daging sendiri, maklumlah mak pun sudah mengambil dia menjadi anak angkat dalam keluarga kami. Sekarang abah ada dua orang anak perempuan.

"Hang ni buat ketaq perut aku laa...hang pi beli dulu, aku tunggu hang. Tekak aku takdak rasa nak makan sekarang. Balik rumah nanti aku makan. Hang tu bukan boleh tak makan, nanti tak pepasai gastrik pulak. Malam ni hang tidoq umah dak? Esok kita takdak kelas pun. Mak dok hingaq kat aku bila la hang nak balik. Aku pelik jugak hang ni, dah tiga minggu hang tak mai umah. Hang pi mana?" Aku sengaja bertanya. Terus air muka Rosie berubah.

"Aku poi boli makan dulu...err...aku saja tak datang, ada hal sikit. Nantilah aku cito...aku lapo ni."

"Hang ingat hang kena tunaikan janji hang. Kalau macam tu lepas kuliah hang teruih ikut aku balik. Dalam scooter ada helmet lebih. Hang suka ka dak hang kena mai jugak harini. Mak dok ngogoi kata hang dah tak sudi nak mai. Nak tinggaikan dia."

"Haa laa haa laa...aku mai." Rosie mengalah juga akhirnya.

"Wah hang pun dah pandai loghat Penang naa..." Aku sengaja provoke.

"See the leg laa..." Rosie ketawa.

Aku tersengih. Kena ugut sikit sudah kecut perut. Rosie...Rosie...

Sedang aku membelek-belek beg aku terkeluarkan satu sampul surat. Baharu aku teringat mengatakan aku hendak koyakkan surat itu. Aku keluarkan cepat-cepat dan tidak sabar-sabar hendak ceraikan surat daripada Irfan Mikail itu.

Namun hati aku menyuruh membaca surat itu terlebih dahulu. Inilah bahana apabila hati tidak sehaluan dengan fikiran. Aku membuka sampul surat itu sambil mulut terkumat-kamit membaca bismillah. Manalah tahu ada serbuk guna-guna ke?

Choiiii!

Apabila mata aku tertancap pada isi kandung surat itu membuatkan mulut aku terlopong. Beberapa kali aku tenyeh peluput mata supaya mengatakan itu adalah gurauan semata daripada Irfan Mikail. Biar betul mamat siku ini!

Tidak semena-mena kelibat Ifran Mikail muncul dihadapan mata. Macam tahu-tahu aku menyeru-nyeru nama dia didalam hati. Menyibuk betul! Cubalah satu hari tidak muncul dalam hidup aku tak boleh ke? Ini tidak asyik menyemak sahaja.

"Terima kasih sebab sudi juga baca surat saya. Jangan lupa selepas tamat semester ini Darlina Suraya." Selepas itu Irfan Mikail berlalu pergi. Baharu sahaja aku hendak berkata-kata dia sudah melangkahkan kaki tanpa menoleh lagi. Aku menghentakkan kaki sekuat hati.

Rosie yang datang semula terpinga-pinga melihat keadaan diri aku. Topi yang aku pakai sudah lunyai aku kerjakan kerana terlalu geram dengan sikap Irfan Mikail yang memang manusia pentingkan diri sendiri! Semakin aku benci dengan Irfan Mikail.

Abah! Mak! Yaya tak nak!

**********

DIAM tak diam peperiksaan akhir semester ke ketiga bakal menjelang tidak lama lagi. Maknanya tinggal lagi satu lagi tiga semester untuk aku pula mengenggam segulung ijazah seperti abang sulung aku. Tidak sabar rasanya hendak menghabiskan gelaran sebagai pelajar kolej.

Bukan aku tidak layak mohon masuk universiti tetapi aku lebih selesa dekat dengan mak dan abah. Lagi pula kolej berdekatan dengan taman perumahan yang aku duduki. Kalau masuk universiti belum tentu aku akan ditempatkan di Pulau Pinang juga. Silap haribulan dihantar ke Sarawak ataupun Sabah, tak sanggup aku tinggalkan mak dan abah serta ahli keluarga aku disini. Anak mak dan abahlah katakan. Abah itu nampak sahaja garang tapi mana boleh berenggang dengan aku.

Sayang abah.

Aku dan Rosie mentelaah bersama-sama dengan aku dirumah. Minggu ini aku telah memaksa dia datang ke rumah sebab aku tak sanggup tengok mak sedih bila Rosie sudah jarang datang ke rumah. Terkadang aku sedikit cemburu apabila mak lebih memberi perhatian kepada Rosie. Tapi aku tak boleh salahkan mak sebab perangai aku ini pun macam gaya seorang lelaki. Ganas semacam, topi pun jarang hendak aku lepaskan daripada kepala. Rosie pula lebih gemar berbaju kurung ataupun memakai skirt labuh dan sekali-sekala menggunakan seluar jeans. Lebih ke gaya feminin.

Kenalah dengan jiwa aku. Gadis Mechanical Engineering yang selesa berseluar jeans, t-shirt dan bertopi sambil beg bergalas.

"Mak aku kalau nampak hang bukan main lagi seri dia. Aku sendiri jeles tau dak. Tu Abang Ari macam tak pernah tengok pompuan bila nampak hang mai umah. Hang ni bekas ratu cantik ka?" Aku berseloroh.

"Manolah den tahu. Agak eh omak dah lamo tak jumpo den. Abang Ari tu memang macam tu dio bila nampak den." Rosie menjawab sambil mulut menguyah coklat Dairy.

"Den...den...hang kat Penanglah bukan dok Nogori sekarang. Hang kena la belajaq loghat sini. Kalau aku mai tempat hang aku pulak belajaq loghat sana." Terkadang macam pelik sahaja bila Rosie menggunakan loghat Negeri Sembilan.

"Den nak buek camno, lidah den dah biaso. Tak ghoti den nak guno bahaso sini." Rosie masih lagi buat selamba.

"Sukahati hang la. Esok mana tau tersangkut dengan lelaki Penang baru hang tau." Habis sahaja aku berkata-kata, Rosie tersedak. Lintang pukang aku turun daripada bilik atas menuju ke dapur mengambil air. Muka Rosie sudah merah padam menahan perit ditekaknya.

"Adeh, nak ter...ter...keluar tokak den." Tersekat-sekat Rosie bersuara. Aku mengusap-ngusap belakang badannya untuk memberi sedikit keselesaan.

"Hang pun takkan aku sebut macam tu boleh tersedak lagu ni? Hang ada sorok apa-apa ka dari aku? Hah! Hang kata nak chegita ngan aku siang tadi. Baik hang mengaku kalau dak aku tambah lima kali ganda hang tersedak."

Berubah airmuka Rosie. Menggelabah semacam apabila aku mengungkitkan perihal siang tadi. Sekarang ini Rosie kuat benar makan coklat. Coklat yang dia dapat siap berbalut cantik lagi. Bila aku hendak tengok daripada pemberian siapa, cepat-cepat dia merampas daripada tangan aku. Tidak berkesempatan hendak menyelidik siapa pemberiannya.

"Err...errr...nantilah den cito. Jom makan, den lapar." Rosie berdalih.

"Hang sengaja larikan topiklah tu. Jomlah turun, rasanya mak dah siapkan makanan tengahari. hang dengan makanan memang tak boleh berpisahkan?"

Rosie menayangkan giginya apabila tersenyum. Eh! Baharu aku perasan, dia sudah memakai braces. Wah! Sejak bila menjaga penampilan?

"Ekau ni macam baru je konal den. Jom..jom...perut den dah berkeroncong." Rosie menarik lengan aku.

"Hang ni...sabar boleh dak?"

Rosie ketawakan aku. Aku menggeleng dengan perangai Rosie. Kalau bab makanan, dialah yang akan menjadi wanita gagah!

Setiba dimeja makan, semua sudah ada termasuklah abah sekali. Bila masa abah balik? Rosie pula tiba-tiba sudah bertukar menjadi wanita ayu. Aku pelik tengok keadaan Rosie yang tidak stabil ini. Kemudian aku memandang ke arah Abang Ari, asyik tersenyum sahaja.

Si Rosie pula seboleh mungkin menahan perasaan malu dia. Macamlah aku tak nampak pipi dia yang sudah mengores kemerah-merahan itu. Selalunya orang kalau dilamun cinta akan berperasaan seperti Rosie sekarang ini. Aku tahu sebab aku selalu baca dalam Internet.

Nampak sangat aku kerap membaca tentang cinta bukan cari bahan ilmiah untuk buat assignment!

Abang Ari bila terpandangkan wajah aku yang sedang merenung mereka berdua terus mai senyuman dia. Boleh pula berdehem-dehem kecil seolah-olah membetulkan keadaan. Rosie yang termalu-malu tadi terus buat-buat seperti biasa. Aku merenung lagi kearah mereka berdua.

Kenapa pula Rosie duduk sebelah Abang Ari, bukan duduk sebelah aku ke sebelum ini? Abah dengan mak takkan tak perasan?

"Rosie, sejak bila hang tukar tempat duduk? Bukan hang selalu duduk sebelah aku ka?" Tiba-tiba aku bersuara. Padahal hendak berkata-kata dalam hati. Habis! Mulut sudah terlepas cakap. Airmuka Abang Ari dan Rosie merah padam.

"Yaya...biaq pi lah dia nak dok mana. Hang ni kalut pasai apa?" Abang Ari tiba-tiba hendak marahkan aku pula.

"Diam. Makan. Waktu makan jangan bercakap. Tak elok." Abah bercakap dua patah langsung semua orang diam. Maknanya abah tidak suka dengan suasana begitu dimeja makan. Tengok misai abang buat aku kecut perut.

Abang Ari marahkan aku bukan main lagi. Sebelum ini kuat menyakat aku tapi ini tiba-tiba boleh marahkan adik perempuan dia yang seorang ini. Apa kes?

Diaorang berdua ini ada apa-apa ke?

**********

BERSAMBUNG (Tinggal lagi 3 Bab habis)

Bab yang ini ayat dia sedikit skema daripada bab pertama. He he he (cuba untuk buat sedikit kelainan)

Apa komen anda?

Peace Yo!
^_~

1 kata-kata pujaan:

MaY_LiN said...

aaaa...
abg ari ngan rosie ya..

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*