Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

10 April 2011

CERPEN : SUHAILIS...


AKU menginap hostel perempuan yang baharu sahaja siap dari pembangunan. Mula-mula aku ditempatkan di hostel lama yang sudah bertahun-tahun keluar masuk penghuninya. Bilik yang aku diami memang menyeramkan tetapi tiada kejadian pelik yang pernah berlaku. Hairan. Aku mendiami bilik itu bersama seorang pelajar baharu yang sama-sama menyambung pelajaran semester pertama. Dia orangnya kuat pada pegangan agama islam. Berikutan dengan itu aku agak segan sedikitnya. Tidak pernah satu malam pun dia terlepas untuk mengaji Al-Quran. Aku yang termalu-malu sendiri melihat kepatuhan Suhailis terhadap agama begitu tinggi. Selalunya apabila dia hendak bersolat, aku akan ikut serta tanpa disuruh. Perlahan-lahan aku mengikuti jejak langkah Suhailis. Dia hanya tersenyum lembut dan aku sendiri menginsafi diri kerana begitu lalai menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim.

Aku dan Suhailis telah diarahkan untuk mendiami sebuah hostel baharu dan membuatkan kami terpinga-pinga. Katanya arahan daripada hal ehwal pelajar. Aku dan Suhailis berpandangan sesama sendiri dan tertanya-tanya adakah kami melakukan suatu kesalahan selama mendiami bilik ini. Kata ketua blok dia hanya menjalankan tugas dan tidak dibenarkan bercerita panjang lebar. Akhirnya kami terus mengemas barang masing-masing. Bernasib baik kerana ketua blok sudi menumpangkan keretanya untuk mengangkut barang-barang kami berdua. Berpenat lelah mengangkut barang-barang turun naik tingkat tiga, akhirnya blik itu menjadi kosong. Aku dan Suhailis hanya memandang bilik yang baharu sahaja kami diami selama dua minggu.

Ketua blok mengunci pintu bilik itu dan yang paling pelik dilekatkan tanda 'tidak boleh didiami mana-mana pelajar'. Aku dan Suhailis ingin bertanya satu soalan dan apabila melihat wajah ketua blok yang menggeleng sambil jari diletakkan ke mulutnya, terus terpadam niat itu. Aku dan Suhailis menjungkit bahu bersama-sama. Ketua blok pelik melihat aku seperti di dalam kekeliruan. Terus dia menepuk-nepuk bahu aku dan meminta aku meneruskan perjalanan.

"Suatu hari nanti awak akan tahu juga. Buat masa sekarang usah difikirkan mengapa, kenapa dan bagaimana. Belum masanya lagi."

Aku tersentak mendengar kata-kata ketua blok itu dan terus memandang wajah Suhailis. Dia hanya tersenyum dan membuat isyarat supaya menguncikan mulut. Aku bertambah keliru. Apa sudah jadi?

*******

SAMPAI sahaja hadapan bangunan hostel yang baharu, aku melihat suasana di sini agak selesa dan aman. Warna bangunan pun cantik dan sedap mata memandang. Aku perasan blok baru ini agak jauh sedikit dari blok-blok lama sebelum ini. Kalau pergi perpustakaan mengambil masa dalam sepuluh minit berbanding mendiami kawasan lama yang hanya lima minit. Namun yang paling penat berjalan adalah menuju ke bilik kuliah. Berjalan sahaja ke sana mesti sampai dalam dua puluh minit. Aku dan Suhailis tergelak kecil mungkin berfikir tentang hal yang sama. Wajah ketua blok kelihatan agak sedikit terganggu. Aku dan Suhailis terdiam.

"Kenapa kak?"

"Tak...tak...takde apa-apa. Sudah mari kita kemas barang-barang awak naik tingkat atas. Bilik awak yang hujung sekali itu. Dalam bilik itu sepatutnya ada empat orang boleh duduk tetapi setakat ini awak sahajalah yang duduk dahulu." Kata bekas ketua blok aku dahulu. Aku hanya mengangguk tanda faham. Suhailis sudah bergerak awal dan dia menggeleng apabila aku mahu menghulurkan bantuan. Katanya dia boleh ambil sendiri. Aku membiarkan sahaja dan terus mengangkut barang-barang kepunyaan aku. Bekas ketua blok aku menarik tangan aku dan membuatkan aku terdorong ke hadapan. Aku terpinga.

"Sakitlah kak..."

"Akak nak tanya kau sikit ni. Kau tak rasa pelik ke duduk bilik lama tu?"

"Pelik amendenye. Biasa aje. Saya dengan kawan saya tu takde kena ganggu pun. Elok aje kami berdua dalam bilik tu. Akak ni kenapa? Peliklah saya tengok."

"Kau dengan kawan kau?"

"Yelah...Suhailis tu kawan saya. Dia kat depan tu. Kan akak tumpangkan kami berdua. Takkanlah akak tak nampak?"

Aku lihat airmuka bekas ketua blok aku sudah pucat lesi. Dia cepat-cepat mengangkut barang-barang milik aku dari bonet kereta. Kemudian dia memohon untuk meminta diri. Aku lihat Suhailis memandang tajam ke arahnya. Aku jadi semakin pelik. Belum pernah aku melihat wajah Suhailis sebegitu. Selalunya dia tenang dan senantiasa tersenyum. Aku menrik tarik Suhailis.

"Kenapa kau tengok muka bekas ketua blok kita macam nak makan?" Aku tergelak kecil dan Suhailis memandang aku sambil tersenyum kembali.

"Takde apa-apa..."

"Jomlah kita angkut barang-barang semua. Waktu Isya' dah lama berlalu. Esok pagi nak pergi kuliah lagi.

Aku dan Suhailis sama-sama berpenat lelah mengangkat barang-barang di waktu malam! Kata bekas ketua blok itu aku dan Suhailis memang kena keluar dari bilik lama jam itu juga. Macamlah tidak menyempat-nyempat menunggu hari esok! Sampai di bilik aku dan Suhailis mengemas apa-apa yang patut. Hampir pukul dua pagi baharulah semuanya sudah siap tersusun dan dikemaskan. Esok pagi ke kuliah mesti masing-masing dalam keadaan yang amat mengantuk.

*******

HARI ini kelas aku tamat sedikit lewat. Hampir ke waktu senja, aku berjalan kaki pulang ke hostel baru. Seawal pagi kelam kelibut bersiap-siap sambil berlari anak menuju ke kelas. Pelik aku apabila melihat Suhailis sudah tiada. Kenapa dia tidak kejutkan aku sekali ya? Agaknya aku tidur mati barangkali dia tidak mahu mengganggu. Agaknyalah...

Terkocoh-kocoh aku memanjat tangga untuk menuju ke kelas tingkat keempat iaitu bersamaan tingkat yang terakhir. Aku bernasib baik kerana pensyarah masih belum sampai dan aku tiba memang tepat pada waktunya. Aku menarik nafas lega. Aku duduk pada barisan tengah dan tiba-tiba ramai yang menjauhkan diri daripada aku. Aku hanya memandang dengan hairan. Aku membiarkan sahaja. Rasanya pagi tadi satu badan aku lumur dengan sabun dan siap bershampoo sekali. Aku cium juga baju sendiri kalau-kalau ada bau.

Asmira menegur dengan perbuatan sesetengah rakan yang lain. Asmira duduk sebelah aku dan terus memegang jemari aku. Aku pandang muka Asmira.

"Kau takde apa-apa? Kau ok ke ni? Kenapa tak rehat aje dekat hostel?" Asmira bertanya soalan pelik terhadap aku.

"Aku ok je. Kenapa dengan korang semua? Apsal pulak aku nak kena rehat dekat hostel?"

"Bukan ke dah kecoh satu kampus pasal kau dengan bilik lama tu?"

"Kecoh pasal aku? Satu kampus? Bilik lama? Cerita apa pulak ni? Aku tak fahamlah..."

Asmira kelihatan resah dan dia seperti rasa bersalah mahu menceritakan hal yang sebenarnya. Baharu sahaja hendak buka mulut, Encik Murad iaitu pensyarah bagi kuliah perniagaan pagi ini sampai. Asmira membiarkan sahaja dahulu pertanyaan aku tidak bertanya. Aku jadi resah. Semalam bekas ketua blok aku sekarang rakan-rakan sekelas pula seperti takut-takut dengan aku.

Kuliah bermula dan aku tidak dapat menumpukan perhatian. Aku memandang ke belakang tepat ke arah tempat duduk Asmira. Aku tersentak melihat Suhailis melambai-lambai ke arah aku. Aku mengomel di dalam hati.

"Bukan Suhailis sudah ke kuliah ke pagi tadi? Apa dia buat berdiri dekat belakang kelas aku?" Aku memandang kembali ke arah belakang dan tiada lagi bayangan Suhailis. Aku semakin terkeliru sehinggalah aku ditegur oleh Encik Murad.

"Zalia...sila beri tumpuan semasa saya mengajar dihadapan. Saya memang pantang kalau saya tengah mengajar ada pelajar yang tidak beri tumpuan. Kalau awak rasa tak sihat sila balik ke hostel."

"Maafkan saya Encik Murad..." Aku terasa merah padam di muka apabila ditegur sebegitu. Silap sendiri kerana tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran yang diberi oleh pensyarah.

Hampir satu jam baharulah kuliah tamat. Asmira menegur aku. Encik Murad memandang wajah aku sambil menggeleng. Aku terasa sedikit di hati apabila berlaku perihal pelik-pelik pagi ini.

"Malam ini kau datang bilik aku. Tidur dengan aku ye. Tak payah tidur dalam bilik kau untuk dua tiga hari ni."

"Kenapa pulak? Tak naklah aku. Kesian kawan sebilik aku tidur sorang nanti. Aku peliklah dengan korang semua. Entah apa-apa. Sudahlah. Aku nak pergi kafe. Lapar."

"Zalia....zalia..."

Aku meneruskan langkah, malas hendak mendengar cakap sesiapa. Buat aku jadi serabut sahaja.

*******

MALAM ini aku tinggal seorang diri. Suhailis dari petang tadi tidak pulang. Talian telefonnya tidak dapat dihubungi. Aku semakin gelisah. Tidak pernah Suhailis sebegini dalam tempoh tiga hari menginap di hostel yang baru. Semenjak duduk bilik baru, aku lihat Suhailis tidak lagi mengaji. Masuk tidur pun awal. Pelik. Setahu aku Suhailis takkan pernah tinggalkan aktiviti mengajinya diwaktu malam.

Aku malas memikirkan perkara yang bukan-bukan, aku mengambil pakaian kotor untuk dibasuh. Ramai penghuni di blok baru sudah berada di dalam bilik. Hanya dua tiga orang sahaja yang masih duduk bergayut menelefon di tepi koridor. Aku hanya tersenyum tetapi mereka hanya menjeling.

'Korek biji mata itu baharu tahu!'

Aku masuk ke dalam bilik air dan terus sahaja mencuci baju-baju kurung yang sudah tiga hari aku longgok. He he he... Oleh kerana kemalasan dan kepenatan aku longgok dahulu baju-baju di dalam bakul. Bakul Suhailis senantiasa kosong. Bila masa dia pergi mencuci pakaian pun aku tidak tahu. Suhailis memang pembersih. Meja, katil, almari dan apa sahajalah tentang dia semuanya kemas dan teratur. Aku ini sudah terbiasa orang gaji Mak Limah yang uruskan di rumah. Sekarang semuanya kena urus sendiri. Pernah juga mengadu kepada Suhailis, dia kata aku beruntung kerana lahir dalam keluarga yang serba mewah.

Suhailis merupakan anak sulung di dalam keluarga. Dia bukanlah dari keluarga yang berada, bapanya telah meninggal dunia. Hanya emaknya sahajalah yang bekerja untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Aku kasihan melihat nasib Suhailis, dan melarang aku jatuh kasihan kepadanya. Katanya itu sudah lumrah kehidupan cuma sekarang dia ingin sekali mengubah nasib keluarganya. Aku kagum dengan semangat Suhailis.

Sedang terleka mencuci pakaian tiba-tiba aku tersedar seperti seseorang sedang tegak berdiri memandang aku. Bulu roma di tengkuk dan lengan aku berdiri secara mengejut. Aku pusing ke belakang dan terkejut sambil mengurut dada. Suhailis rupanya! Malam ini airmuka dia berlainan sekali. Pucat.

"Suhailis! Terkejut Lia tau. Kenapa duduk tercegat berdiri depan pintu aje tu?"

Suhailis tidak menjawab tetapi hanya tersenyum. Aku menarik lengan Suhailis dan dia hanya mengikuti sahaja.

"Kenapa wajah pucat sangat ni? Sakit ke? Lia telefon kenapa tak dapat? Kenapa sekarang baru balik? Awak pergi mana?"

Bertalu-talu soalan yang aku tanya namun tiada satu pun yang dijawab Suhailis. Hanya tersenyum dan aku terasa sedikit pelik dengan senyuman itu.

"Suhailis...awak dengar tak ni?"

"Saya balik bilik dulu. Jangan basuh kain tengah-tengah malam lagi ya."

Aku terkedu dengan jawapan yang diberikan oleh Suhailis. Lain yang aku tanya, lain pula yang dia jawab. Aku memandang ke arah longgok kain yang telah penuh dengan sabun. Aku kerling semula ke arah Suhailis, dia sudah tiada. Sekejap betul hilang. Tanpa buang masa aku basuh kain cepat-cepat dan membilas dengan rapi. Aku perah seboleh mungkin. Kemudian aku jemur di ampaian yang tidak jauh daripada bilik air. Kalua bilik lama senang sikit sebab memang sudah asingkan bilik air serta tempat membasuh.

Usai semuanya aku membasuh baldi dengan cermat. Cepat-cepat langkah aku menuju ke bilik. Sampai di dalam bilik, katil Suhailis kosong. Kemana pula dia pergi tengah-tengah malam begini? Aku melihat begnya ada, baju kurung yang baru aku lihat tadi sudah tergantung di hadapan almarinya. Aku mengambil telefon bimbit dan mendail nombor milik Suhailis. Sama seperti tadi. Masih tidak dapat dihubungi. Peliknya...

Akhirnya aku sudah tidak dapat menahan kantuk untuk menunggu Suhailis pulang. Aku terlena seketika. Sehinggalah aku dikejutkan dengan bunyi buku dihempas ke lantai. Aku terjaga dan mengurut dada. Aku lihat katil Suhailis, dia ada di situ! Pukul berapa dia balik? Aku bangun dan menghampiri Suhailis. Tidak sampai hati pula mengejut apabila melihat dia begitu terlena sambil tidur mengiring hadap ke dinding.

Aku lihat atas meja Suhailis bersepah dengan buku. Kemudian atas mejanya penuh dengna air. Atas lantai juga penuh dengan kesan tapak air. Aku buka lampu dan terkejut melihat dalam keadaan bilik. Aku bergegas mengejutkan Suhailis dan aku dapati badannya basah! Apa sudah jadi? Berulang-ulang kali aku memanggil Suhailis namun dia tetap diam membatu. Aku sudah tidak keruan lantas aku menjerit sedikit memanggil Suhailis.

Apabila dia memandang ke arah aku ,terus aku menjerit sekuat hati dan pandangan aku menjadi gelap!

*******

KEESOKKAN hari kecoh satu kampus tentang kejadian yang telah berlaku kepada aku. Aku demam panas kerana kejadian malam tadi. Aku bernasib baik kerana beberapa penghuni blok baru ini yang telah terdengar jeritan aku yang agak kuat dan nyaring. Mereka yang memanggil ketua blok untuk membantu aku yang sudah terkulai layu. Pintu bilik terpaksa dipecahkan oleh mereka.

Aku yang masih mamai dan terkeliru tidak bermaya untuk menjawab soalan-soalan mereka. Sehinggalah Asmira datang melihat keadaan selepas habis kuliah waktu pagi. Aku menangis dan Asmira memujuk untuk menenangkan keadaan aku. Asmira telah mengemas beberapa pakaian milik aku dan terus membawa aku ke hostelnya. Menggeletar tangan aku apabila menceritakan keadaan yang berlaku malam tadi.

"Aku tengok kawan sebilik aku tu memang menyeramkan. Mukanya penuh dengan lumut. Bilik aku penuh dengan air. Dari mana datang aku tak pasti. Aku lihat tingkap terbuka luas. Aku...aku..aku.."

"Sabar Zalia...kau cerita perlahan-lahan..."

"Aku ingat Suhailis tapi hantu rupanya!"

"Kalau aku cakap ni kau jangan marah aku pulak. Sebenarnya dah lama aku nak cakap tapi aku tak berkesempatan."

"Cerita apa yang aku tak tahu ni?"

"Kau tahu kenapa satu jkampus ni bercerita pasal kau sebelum ni?"

Aku hanya menggeleng kerana tiada siapa yang mahu bertanya ataupun memberitahu aku.

"Sebenarnya masa kau duduk bilik lama, kau duduk seorang diri."

"Seorang diri? Mengarutlah kau. Suhailis tu duduk dengan akulah. Kitaorang sama-sama mendaftar haritu. Macam mana pulak aku duduk seorang?"

"Suhailis?"

"A'aaa Suhailis... Eh bercakap pasal dia hantu yang menyakat aku tu serupa wajahnya dengan Suhailis..."

"Zalia...dengar sini. Suhailis tu tak wujud. Kau duduk bilik lama tu seorang diri. Sebab dah sampai ke telinga ketua hal ehwal pelajar, mereka mengarahkan bekas ketua blok kau bawak kau keluar daripada bilik itu. Lagi satu, 'kawan' kau itu pun tumpang sama dan ikut kau jugak. Sampai bekas ketua blok kau tu demam selepas dia terpandang wajah ngeri 'kawan' kau."

Aku terkedu seketika. Baharu aku teringat mengapa wajah bekas ketua blok itu macam takut-takut dengan aku. Akhirnya mengertilah aku bahawa selama ini aku duduk bersama dengan 'kawan' yang tidak pernah wujud.

"Tapi kenapa aku?"

"Itu aku tak pasti Zalia tapi dengar-dengar cerita, dahulu ada seorang pelajar perempuan mati bunuh diri selepas dia di rogol oleh pekerja kontrak yang buat kerja baik pulih hostel-hostel lama di sini. Dia di rogol beramai-ramai. Akhrnya dia bunuh diri dengan terjun ke dalam tangki belakang hostel lama yang kau duduk tu. Agaknya roh dia tak tenteram."

Aku terdiam seketika dan terus mengimbau kali pertama aku berkenalan dengan Suhailis.

"Aku sendiri tak tahu nak cerita bagaimana. 'Dia' yang banyak mengubah pendirian aku. Satu sahaja aku pelik, bagaimana hantu boleh mengaji?"

"Dia dahulu seorang gadis yang warak. Entah macam mana kejadian yang aib itu berlaku aku sendiri kurang pasti. Mungkin sudah ketentuan Allah. Kita doakan kesejahteraan dia sahajalah Lia. Semoga rohnya aman dan tenteram."

Aku bangun menuju ke jendela. Sekali lagi darah aku gemuruh dan berderau. Aku lihat 'Suhailis' melambai-lambai ke arah aku! Lantas jendela itu aku tutup dengan langsir!

Asmira hairan melihat perlakuan aku. Aku hanya menuding jari dan Asmira membuka kembali langsir. Aku memejamkan mata.

"Takde apa-apalah Zalia. Perasaan kau aje agaknya."

Aku kembali ke jendela dan memang tiada sesiapa di bawah sana.

"Suhailis, semoga arwahmu tenang di alam sana. Aku mohon jangan ganggu aku lagi. Walau macam manapun aku tetap mengingati dirimu senantiasa."

Secara tiba-tiba baharu teringat kata-katanya malam tadi.

'JANGAN MEMBASUH PADA WAKTU TENGAH MALAM YA..'

1 kata-kata pujaan:

ihaaz said...

menyeramkan..

suhailis pesan jgn basuh malam2 sbb dia 'kejadian tu' berlaku mase dia cuci baju kan??

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*