Text

Daisypath Anniversary tickers

Followers

07 August 2011

AKUKAH YANG TERPILIH?


ENTAH mengapa semenjak kebelakangan ini hati aku terasa begitu kosong. Sunyi. Sepi dan rindu. Ya Rindu, tapi aku rindu pada siapa? Bukan si polan itu bukan si polan ini tetapi ada sesuatu yang teramat aku rindukan. Mengeluh sendirian sambil menikmati pemandangan yang begitu luas.

Cantiknya! Selama ini aku terlupa akan kecantikkan alam yang begitu mempesonakan. Aku lebih memandang kebendaan yang hanya diciptakan oleh manusia yang ilmunya hanya sekecil cuma. Hanya ilmu yang sekecil itu membuatkan aku lalai dalam sifat duniawi semata-mata.

Tiba-tiba airmataku bergenang ditubir apabila terkenangkan kisah silam. Jauh benar aku berlari sedangkan DIA senantiasa dekat di hati. Ya Tuhan! Jahilnya aku meskipun agamaku Islam. Aku buta dalam terang. Aku sombong dalam kesederhaan. Aku lupa. Aku lupa padamu Ya Allah. Manusia apakah aku ini? Telah aku bersumpah bahawa Engkau Tuhan yang patut disembah namun mengapa tidak aku lakukan? Mengapa berat sungguh untuk aku merundukkan wajah mengadapMu yang Allah?

Aku malu. Aku sungguh malu di atas segala semua dosa yang aku lakukan tanpa segan dan silu. Aku bangga kerana aku punya segalanya tetapi aku lupa untuk menunaikan kewajipanku. Jiwaku kosong. Nuraniku mati. Hatiku kotor Ya Allah! bagaimana hisab aku di kemudian hari nanti Ya Allah? Mengapa aku melupaiMu? Mengapa aku tidak mengikuti peringatan yang telah KekasihMu yakni baginda Rasullulah SAW memberikan peringatan orang-orang seperti kami ini Ya Allah?

Teringat kembali arwah sahabat baiknya Fatihah yang telah meninggalkannya terlebih dahulu menyambut panggilan Illahi. Karmila menangis teringatkan akan kata-kata nistanya terhadap Fatihah sebelum ini.

Ampuni kami Ya Allah! Ampuni kami! Ampuni kami yang telah melakukan dosa dan menzalimi diri kami sendiri Ya Allah! Ampun...

Karmila terduduk.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ~ ayat 39

'Orang-orang yang teguh agamanya ialah orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka itu takut kepadaNya dan tidak ada seseorang pun yang ditakuti melainkan Allah. Cukuplah Allah pembuat perhitungan.'

******

"KALAU aku tak bergaya maka sia-sia ajelah ciptaan Tuhan terhadap aku! Apa guna kalau ada wajah yang cantik dan menggoda tidak digunakan dengan sebaik-baiknya kan? Takkan nak jadi perempuan kolot? Dalam arus zaman serba moden kita kena raih peluang yang ada dan lagi satu otak tu kena pandai berfikir dan ligat macam mana nak bagi hidup senang!" Ujar Karmila dengan penuh bongkak.

"Tapikan tak baik kau menipu orang dengan mengikis duitnya untuk kesenangan kau semata-mata! Esok kalau jadi apa-apa pada kau macam mana?!" Tingkah Fatihah terhadap kesombongan Karmila teman serumah sewanya. Selama ini dia hanya mendiamkan sahaja perangai Karmila yang tidak sudah-sudah. Kali ini Fatihah sudah tidak dapat menahan kesabaran apabila saban malam Karmila keluar dengan pelbagai lelaki yang berkereta mewah dan berharta. Kalau dinilai dengan rupa sudah layak dipanggil ayah mahupun datuk bercucu empat!

"Kau tak payahlah nak sibuk-sibuk ikut campur urusan hidup aku. Kau mengaji aku tak kacau. Kau sembahyang aku tak pernah nak sindir. Jaga diri kau sudah. Kubur masing-masing! Sudahlah, malas aku nak bertekak dengan kau lagi. Buat spoil mood aku nak pergi dating malam ni...." Karmila membelek wajahnya yang sudah dioles cantik dengan make up yang semuanya berjenama mahal-mahal. Pakaiannya sahaja sudah menjolok mata. Mini skirt hitam yang hanya berparas peha serta bajunya yang sendat menampakkan sedikit lurah. Katanya ini fesyen zaman kemodenan, maka perlu bergaya dengan menarik.

"Karmila! Sudah-sudahlah tu. Kau tu perempuan, kalau tak jaga maruah kau kat luar sana nanti tak pasal-pasal kau hanyut penuh dengan dosa. Janganlah keluar malam ini Karmila." Pujuk Fatihah. Nada suaranya sudah menurun. Karmila hanya ketawa sindir.

"Dosa? Kau sembahyang tunggang tonggeng tu dah tentu dipilih Tuhan ke? Kalau kau tak suka aku duduk sewa dalam rumah ini lagi, ok fine! Aku boleh keluar cari rumah lain. Dosa kau, kau jaga sendiri. Dosa aku biar aku sendiri tanggung, faham! Lagipun masa muda ini kita perlu merebut segala rezeki yang ada di depan mata. Dah tua besok aku bertaubatlah! Allah tu Maha Pengampun! Allah boleh terima aku bila-bila masa shaja. Kau tu belum tentu lagi Allah terima tahu! Sudah! Malas aku nak layan kau!" Karmila menengking Fatihah. Rumah sewa yang diduduki berjiran dengan kaum Cina, jadi apa yang mereka lakukan tidak diambil tahu.

Mengalir airmata Fatihah apabila ditengking hebat dan kata-kata yang begitu tajam menusuk hatinya. Karmila mencapai tas tangannya yang berwarna hitam yang di saluti manik-manik mahal jenama COACH hadiah daripada salah seorang teman lelakinya. Karmila berlalu keluar menghempaskan pintu bilik sekuat hati.

Fatihah menangis semahu-mahunya, kemudian dia melangkah masuk ke dalam bilik air. Mengambil whuduk untuk menunaikan solat Isyak. Dia berteleku sambil airmatanya mengalir lagi. Dalam sendu Fatihah masih mendoakan kesejahteraan Karmila dan memohon pada Allah untuk membukakan kembali pintu hatinya unutk kembali menjadi muslimah yang disayangi Allah.

Usai menunaikan solatnya, Fatihah cuba menelefon Karmila malangnya setiap kali panggilannya sengaja tidak dijawab. Sekali lagi Fatihah mendail nombor telefon bimbit Karmila, kali ini talian itu dimatikan terus. Fatihah mengeluh. Dia tidak mahu Karmila terus hanyut dalam pelukan dosa duniawi. Dia perlu berusaha bersungguh-sungguh memujuk Karmila, namun hatinya bimbang sekiranya Karmila benar-benar meninggalkan rumah sewa mereka. Peluang untuk terus hanyut pasti akan terbuka luas! Fatihah tidak sanggup melihat Karmila tersungkur kerana mengejar duniawi semata-mata. Fatihah sayangkan Karmila, sahabatnya itu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ~ ayat 69

'Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh, benar-benar Kami pimpin mereka ke jalan -jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang memperbaiki amalannya.'

*******

       USAI dari menunaikan solat fardhu Maghrib, Fatihah mengenadah tangan memohon doa kepada Allah untuk kesejahteraan Karmila agar senantiasa dilindungi dan terpelihara walau di mana sahaja dia berada. Fatihah mengaminkan doanya dan terus bangun melipat telekung putih berserta sejadah yang berwarna hijau muda. Perlahan-lahan Fatihah menuju ke laci yang terletak bersebelahan dengan katilnya. Ditarik perlahan laci itu, Fatihah mengambil hadiah yang telah siap berbungkus buat Karmila sempena hari jadinya.

Fatihah menuju ke bilik Karmila namun sayang biliknya berkunci. Tahulah dia bahawa Karmila sudahpun keluar sewaktu dia menunaikan solat sebentar tadi. Fatihah sedikit mengeluh. Sewaktu rambang senja muncul, Karmila pula keluar sesuka hati untuk bertemu dengan kekasih baharunya. Fatihah menggeleng dan memeluk hadiah yang sudah siap terbalut cantik.

"Tak apalah, malam nanti boleh bagi jugak..." Fatihah bercakap sendirian. Fatihah meletakkan hadiah yang sudah siap terbalut itu di atas sebuah rak yang terletak di ruang dapur. Fatihah menjenguk di dalam perut peti ais untuk melihat bahan-bahan makan yang boleh dimasak.

Setelah menjamu selera, Fatihah menuju ke ruang tamu untuk mengikuti siaran berita Buletin Utama di TV3. Semakin lama mata Fatihah semakin layu. Akhirnya televisyen yang melihat Fatihah. Entah apa siaran ayng sedang berlaku Fatihah tidak mengetahui. alam ini tidak tahu mengapa dia cepat benar mengantuk. Selalunya selagi belum pukul dua pagi, mata Fatihah akan celik segar bugar menunggu kepulangan Karmila. Manakan tidak asal pulang ke rumah Karmila pasti mabuk.

Kadang-kadang sampai termuntah di ruang tamu. Fatihah juga yang menolong membersihkan muntah Karmila dan dibawa temannya itu terus masuk ke bilik. Karmila sudah tidak sedarkan diri kalau mabuk terlalu teruk. Mengalir airmata Fatihah melihat keadaan Karmila. Puas sudah dipujuk agar tidak menguk air kencing syaitan itu, balik-balik Fatihah diherdiknya. Teringat kembali herdikan Karmila tiga malam yang lalu.

"Kau jangan membebel boleh tak? Sukahati akulah apa yang aku nak buat! Kubur masing-masing jaga. Dosa pahala pun masing-masing jaga. Kau ni dengki sangat dengan aku kenapa?!"

"Bukan aku dengki dengan kau, Karmila. Tetapi sebagai saudara seislam aku patut tegur kau supaya jangan zalimkan diri kau sendiri. Aku sayang kau sebab kau sahabat aku. Itu aje." Fatihah cuba berdiplomasi dengan tenang apabila melihat Karmila sudah naik baran.

"Kau...kalau nak jadi ustazah bukan di sini. Bukan dalam rumah ni tahu! Hari-hari bising! Sama macam mak aku jugak! Cubalah bagi aku ruang untuk seorang diri tak boleh ke?! Asyik-asyik memekak....bosan betul!"

"Aku tak sanggup tengok kawan aku terus hanyut macam ini. Kau kawan aku Karmila..."

"Sudah! Diam! Aku cakap diam! Diam! Diam! Arghhhhhhh! Berambus kau dari bilik aku! Aku nak tidur!"

Karmila menjerit sekuat hati. Dihalau Fatihah keluar daripada biliknya. Sayu benar hati Fatihah diperlakukan sebegitu. Sewaktu mula-mula sampai dari kampung, Karmila tidak berperangai sebegini. Baharu setahun dua menetap di Kuala Lumpur, Karmila mula lupa diri. Fatihah teringat akan pesanan ibu Karmila di kampung. Oleh kerana amanah, Fatihah menunaikan kewajipannya sebagai seorang sahabat. Namun telah disalahertikan oleh Karmila.

Fatihah berlalu menuju ke biliknya. Dia mengambil whuduk dan mengaji untuk menenangkan perasaannya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ra'd ~ayat 28

'Orang-orang yang beriman itu, hati mereka menjadi tenang kerana mengingati (berzikir) kepada Allah. Ingatlah bahawa dengan mengingati kepada Allahlah hati akan menjadi tenang.'

*******

JAM sudahpun tepat pukul tiga pagi, Karmila mengetuk-ngetuk pintu dengan kuat. Fatihah terjaga dari tidur. Terkocoh-kocoh Fatihah membuka pintu. Dia lihat Karmila dalam keadaan mabuk teruk sambil dipeluk oleh seorang lelaki yang agak berusia. Lintang pukang Fatihah menutup pintu semula dan berlari mengambil kain tudung yang terletak di dalam biliknya.

Fatihah berlari turun semula dan tidak semena-mena dia jatuh tersungkur akibat tersadung kaki sendiri. Fatihah mengerang kesakitan.

"Allahuakhbar!...Ya Allah sakitnya..." Fatihah bangkit semula. Terhincut-hincut langkah kakinya menuruni tangga. Dikuatkan segala kederat yang ada. Fatihah membuka kembali pintu rumah setelah bertalu-talu di ketuk lagi oleh Karmila. Terdengar suaranya memaki hamun.

"Boleh saya masuk? Nak hantar Karmila masuk bilik. Dia dah mabuk teruk." Lelaki itu memohon keizinan.

"Eh! Tak boleh. Rumah wanita Islam. Encik tak boleh masuk. Takpe biar saya yang papah Karmila. Terima kasih sebab bawak Karmila balik terus." Fatihah bertegas. Lelaki itu tersenyum.

"Wanita Islam ya...takpelah awak bawak kawan awak masuk. Saya ingat dia bukan Islam tadi." Sindiran yang berbaur keras.

"Astaqfirullahalzhim. Dia Islam encik. Takpelah encik baliklah dulu. Assalamualaikum." Fatihah tersentak mendengar kata-kata lelaki berusia itu.

Fatihah berusaha keras memapah Karmila menuju ke bilik air. Terhoyong-hayang Karmila berjalan dan Fatihah terpaksa mengikut rentak itu. Walaupun kakinya masih sakit, namun Fatihah berusaha juga menolong Karmila akibat ketidaksedaran diri minum air yang begitu memabukkan.

"Kau nak bawak aku pergi mana ni?! Aku nak masuk biliklah!" Karmila berkata kasar.

"Mandikan kau dulu. Mabuk sangat dah kau ni."

"Kau jangan masuk campurlah urusan aku. Lantaklah aku mabuk ke apa. Birthday party memang macam ini. Ketepilah kau!" Karmila menolak Fatihah dan membuatkan Fatihah mengaduh kerana kesakitan kakinya bertambah dua kali ganda. Fatihah terduduk.

Karmila ketawa. Tidak lama kemudian, Karmila termuntah di hapadan pintu bilik air. Fatihah mengesot menolongnya dengan menepuk-nepuk belakang badan Karmila.

Karmila muntah teruk. Fatihah mengusap-ngusap belakang Karmila untuk beri sedikit keselesaan. Karmila menepis tangan Fatihah. Fatihah tergamam.

"Tepilah..." Karmila membasuh mulutnya dan terus menuju ke ruang tamu. Karmila tertidur. Fatihah perlahan-lahan membersihkan muntah Karmila. Mengalir airmatanya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ~ ayat 91

'Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah SWT dan sembahyang. Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)'

*******

KEESOKKAN pagi Karmila bangun dengan kepala yang teramat sangat. Akibat mabuk berlebihan malam tadi membuatkan Karmila tidak bermaya. Terpaksalah dia mengambil cuti sakit. Karmila melihat sekeliling rumah, sunyi dan sepi. Tahulah dia Fatihah sudah keluar bekerja. Dia tidak ingat apa yang berlaku malam tadi. Karmila bangkit dan menuju ke biliknya. Karmila membersihkan badan. Setelah mengenakan blouse berwarna putih dan berseluar jeans.

Karmila menuju ke dapur. Cadang ingin membancuh air nescafe pekat tetapi dia melihat atas meja sudah terhidang sarapan pagi. Karmila tahu itu kerja Fatihah. Saban hari Fatihah tidak jemu membuat sarapan. Hanya dirinya merasa dongkol untuk menjamah air tangan Fatihah. Hatinya sakit bukan kepalang.

Lantas sarapan pagi itu Karmila buang ke dalam tong sampah. Air yang di dalam jug pun dibuang ke dalam sinki. Karmila memanaskan air dan dia lebih rela membuat bancuhan sendiri. Entah apa yang dia jijik sangat dengan air tangan Fatihah pun dia tidak tahu. Mengapa dia begitu benci kepada Fatihah dia sendiri tidak mengerti.

Mata Karmila tertancap melihat satu bungkus hadiah untuknya. Karmila hairan. Perlahan-lahan bungkusan hadiah itu dicariknya. Karmila melihat dua buah buku Agama Islam untuk dirinya.

Pintu Taubat Mencari Keagungan Allah SWT

Mengenali Siapa TuhanMU

Karmila mencampakkan buku itu di atas meja makan. Hatinya sebal. Karmila meninggalkan dapur dan mencapai kunci keretanya untuk menuju ke klinik. Karmila menyumpah seranah. Tahulah dia itu adalah pemberian Fatihah kepadanya.

"Ada hati konon nak bagi aku buku-buku tu kat aku. Sampai masa nanti tahulah aku nak bertaubat. Fatihah ni nak menyibuk dalam urusan peribadi aku apahal. Mati lagi baguslah dia tu. Hidup pun menyusahkan aku aje." Karmila melepaskan segala amarahnya.

'Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara maka perbetulkanlah sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat' Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ~ ayat 10

Karmila membawa kereta tidak stabil. Laju sahaja kenderaan yang dipacunya di dalam keadaan yang marah. Karmila membentak-bentak memarahi sikap Fatihah yang suka benar mencampuri urusannya. Semakin lama perasaan benci kepada Fatihah semakin menebal. Karmila nekad hendak keluar daripada rumah sewa itu. Dia sudah tidak tahan dengan keprihatinan Fatihah yang melebih-lebih.

Siapa menduga, Karmila terlibat dalam kemalangan besar. Keretanya merepuh belakang lori yang berhenti secara mengejut dihadapannya. Karmila tidak sempat untuk menekan break kereta dan akhirnya terus merempuh dengan kuat. Orang ramai berkerumun melihat kejadian tersebut. Hanya segelintir orang yang membantunya. Muka Karmila remuk teruk. Pemandu lori tidak kelihatan apa-apa. Cuma keadaan Karmila yang begitu parah.

Tidak lama kemudian Karmila di bawa ke hospital selepas ketibaan ambulans. Karmila sudah tidak sedarkan diri. Salah seorang orang ramai mengambil telefon bimbit Karmila di dalam tas tangannya. Tertera nombor Fatihah yang skrin telefon Karmila kerana panggilannya itu tidak berjawab. Lantas salah seorang orang ramai itu mendail nombor telefon milik Fatihah.

Fatihah menyahut panggilan itu. Fatihah menjawab dengan sabris senyuman pada awalnya. Tetapi selepas mendengar khabar berita Karmila terlibat dengan kemalangan Fatihah tersentak. Terus dia memohon cuti kecemasan dan menuju ke Hospital Kuala Lumpur. Fatihah menangis. Dalam pada masa yang sama, Fatihah menghubungi talian telefon rumah kedua orang tua Karmila dan menyampaikan berita yang mengejutkan itu.

"Bismillahnirrahanmannirrahim...Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau selamatkanlah Karmila hambaMu itu dari kecelakaan yang telah menimpanya. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Amin..."

*******

FIRMAN Allah SWT di dalam surah adz-Zaariyat ~ ayat 56

'Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia ialah untuk beribadat kepadaKu.'

Fatihah menemani Karmila yang telah selamat dibedah dan ditempatkan ke bahagian unit kawalan rapi. Muka Karmila remuk teruk akibat dari kemalangan itu. Karmila masih belum sedarkan diri. Fatihah tidak tahu bagaimana mahu meredakan perasaan Karmila selepas dia sedarkan diri nanti. Fatihah kebuntuan dan lantas Fatihah berzikir memohon ketenangan. Fatihah tahu pasti Karmila akan bersedih hati. Hati siapa tidak sedih apabila wajah yang sempurna telah menjadi cacat? Astaqfirullahalazhim.

Sesugguhnya Allah yang lebih mengetahui daripada apa yang hambaNya ketahui. Tiap-tiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersembunyi supaya kita mencari jalan untuk menemui keredhaan.

Orang tua Karmila tidak henti-henti medoakan kesejahteraan anaknya. Ibu Karmila yang paling banyak menangis. Ayah Karmila sedaya upaya menenangkan perasaan isterinya. Adik beradik Karmila tidak dapat datang bersama berikutan masing-masing sedang menjalani peperiksaaan penting.

Fatihah meluru menuju ke surau yang terdekat. Dia mengambil air whuduk untuk sembahyang sunat. Penuh dengan rasa takafur dan rendah diri, Fatihah memohon doa kepada yang Maha Esa.

"Bismillahnirrahmannirrahim..Ya Allah Ya Tuhanku yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku memohon kepadamu Ya Allah semoga Engkau memberikan kami kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Ya Allah Engkau ampunilah dosa-dosa yang pernah Karmila lakukan sebelum ini. Engkau rahmatilah dia Ya Allah. Engkau berikanlah kesempatan yang ada untuk kembali kepadaMu. Aku memohon kepadaMu Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha segala-galanya."

Usai berdoa, Fatihah membaca surah Yassin untuk kesejahteraaan Karmila. Airmata Fatihah tumpah lagi. Fatihah kembali semula ke bilik Karmila. Dilihat Karmila sudah sedarkan diri. Fatihah terus memeluk Karmila. Walaupun keadaan Karmila terlalu lemah namun dia tetap berusaha untuk bersuara memohon maaf kepada Fatihah.

"Faa...Faati...Fatihaaah...Aaa...ak....aku nak...nak mintaa...min....minta maa...maaf pada kau." Tersekat-sekat Karmila bersuara.

"Aku dah lama maafkan kau Karmila. Sudahlah...rehatlah...kau belum pulih sepenuhnya. Jangan paksa diri kau. Nanti-nanti kita berbual ya. Kalau kau dah sembuh, kita boleh berbual panjang ya Karmila." Fatihah memeluk tubuh Karmila.

Ibu dan ayah Karmila pula menenangkan kami berdua.

"Karmila dah sedar ya makcik."

"Terima kasih Fatihah, kamu banyak tolong kami semua. Menyusahkan kamu pula."

"Eh makcik jangan kata begitu. Sudah tanggungjawab sesama manusia kan. Saya ikhlas kerana Allah SWT untuk menghulurkan bantuan."

"Kalau kamu tak tolong dermakan darah untuk Karmila, tak tahulah apa hendak jadi dengan Karmila."

"Sudahlah makcik. Janji Karmila selamat."

Karmila memegang erat jemari Fatihah. Lantas Fatihah tersenyum.

*******

PERISTIWA tiga bulan lalu membuatkan Karmila menangis sendirian. Jika sebelum ini nyawanya dihujung tanduk. Tetapi seolah-olah berganti nyawa antara dia dan Fatihah. Allah lebih menyayangi Fatihah daripadanya. Mungkin telah termaktub ajal dan maut ketentuan Allah.

Mujur dia telah kembali ke jalan yang benar atas kesungguhan Fatihah membantunya. Fatihah tidak henti-henti mengucapkan syukur di atas kesempatan yang Allah SWT berikan kepada Karmila. Solat jemaah terakhir itu yang menjadikan pertemuan terakhir antara Karmila dan Faithah.

Kini wajah milik Karmila telah ditutupi dengan berjilbab sepenuhnya. Hanya mata sahaja kelihatan. Karmila tidak mahu wajahnya yang telah cacat itu menjadi ketakutan kepada orang lain. Dia menutupi wajah yang mengerikan itu untuk keselesaan orang ramai.

Karmila telah pulang semula ke kampung. Fatihah dan ahli keluarganya sahaja tahu rupa sebenar Karmila. Namun Fatihah tidak pernah menganggap kecacatan Karmila menjadi penghalangnya untuk sama-sama membimbing Karmila.

Karmila menuju ke perkuburan milik Fatihah. Dia menghadiahkan sekudus doa untuk kesejahteraan buat Fatihah pula seperti mana Fatihah banyak mendoakan kebaikkan untuk dirinya. Fatihah memegang buku-buku agama yang pernah dicampakkan suatu masa dahulu yang dihadiahkan oleh arwah Fatihah buat dirinya.

Al-Fatihah buat Nur Fatihah Binti Sulaiman.

Ya Allah, apakah aku akan terpilih menjadi umatmu yang solehah?

Karmila berteleku sendirian sambil menghadiahkan surah yassin buat arwah Nur Fatihah.

'Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikkan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Berikanlah kemaafan kepada kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami."

Fiman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ~ ayat 286.

0 kata-kata pujaan:

BILA JARI MULA MENARI © 2008 Por *Templates para Você*